Malaysia perlu membina semula naratif sejarahnya berdasarkan fakta dan warisan sendiri, bukan melalui sudut pandang penjajah Barat
Melaka bukan sekadar destinasi pelancongan biasa tetapi mempunyai keunikan sejarah dan budaya yang tiada tandingan di rantau ini, sekali gus menjadikannya lokasi tepat untuk meraikan Hari Pelancongan Sedunia (WTD) 2025.
nik
9/27/20252 min read


MELAKA: Malaysia perlu membina semula naratif sejarahnya berdasarkan fakta dan warisan sendiri, bukan melalui sudut pandang penjajah Barat, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata, penulisan sejarah negara mesti dikembalikan kepada asas sebenar tamadun dan kebitaraan Melayu yang sudah lama menjalin hubungan dengan dunia luar.
"Saya masih ingat, seawal tahun 1961, sarjana sosiologi terkemuka negara, Prof Syed Hussein Al-Atas dalam Persidangan Ahli Sejarah Asia sudah mengingatkan bahawa sejarah kita tidak boleh ditentukan oleh penjajah atau tunduk kepada naratif Barat.
"Kita memiliki sebuah tamadun. Kita mempunyai hubungan perdagangan dengan Timur dan Barat, selain kerajaan China melalui Laksamana Cheng Ho, dunia Arab dan kuasa Barat.
"Itu semua adalah bentuk awal globalisasi," katanya ketika berucap melancarkan Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026) di Encore Melaka, di sini malam tadi.
Yang turut hadir, Yang di-Pertua Negeri, Tun Dr Mohd Ali Mohd Rustam; Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh dan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing.
Anwar berkata, Melaka sudah membuktikan keterbukaan kepada dunia sejak ratusan tahun lalu dan menjadi pusat perdagangan serta tamadun penting di rantau ini.
Sehubungan itu, katanya, penulisan semula sejarah Malaysia amat penting dan institusi pendidikan perlu menjadikan Melaka sebagai tunjang pemahaman sejarah negara.
"Universiti dan sekolah mesti melihat Melaka sebagai asas sejarah negara, lambang vitaliti budaya yang boleh ditonjolkan melalui pelancongan.
"Sebab itulah saya memilih untuk bersetuju supaya Melaka menjadi tuan rumah pelancaran VM2026," katanya.
Perdana Menteri turut menzahirkan penghargaan kepada Ab Rauf dan kerajaan Melaka, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), menteri serta tetamu luar negara yang hadir menyokong penganjuran berprestij itu.
Katanya, Melaka bukan sekadar destinasi pelancongan biasa tetapi mempunyai keunikan sejarah dan budaya yang tiada tandingan di rantau ini, sekali gus menjadikannya lokasi tepat untuk meraikan Hari Pelancongan Sedunia (WTD) 2025.
Dalam pada itu, beliau mengingatkan mengenai kepentingan memelihara warisan negara meskipun banyak artifak dan dokumen sejarah musnah atau dibawa keluar oleh penjajah.
Katanya, usaha mengangkat kembali warisan Melaka dan negara mesti diteruskan demi generasi akan datang.
Anwar turut menegaskan bahawa kemajmukan Malaysia adalah aset besar yang perlu ditonjolkan kepada dunia.
"Malaysia ialah negara berbilang kaum dan agama, ada Melayu, Cina, India, Kadazan, Iban dan lain-lain.
"Saya sebagai rakyat Malaysia sangat berbangga menunjukkan bahawa negara ini unik (meskipun) Islam sebagai agama Persekutuan, namun tetap meraikan kepelbagaian budaya dan agama lain," katanya.